Rabu, 12 Ogos 2015

Cerita malam Jumaat; rumahku...?

Cerita malam Jumaat lepas. Masuk tidur kira-kira jam 11.00 malam. Terbangun beberapa kali sehingga jam 2 pagi. Terkejut kemudian tidur semula. Beberapa minit sebelum pukul 3 pagi tersedar lagi. Kemudian terlena semula. 15 sebelum 4 pagi bangun, berdoa, panjatkan rasa syukur, mohon ampun sambil mengemaskan tempat tidur. Mandi, berwuduk, bersiap diri dan terus ke surau. Beberapa langkah saja sudah sampai ke muka pintu. Beginilah kebiasaannya.

Tapi malam ini ada sedikit kelainan rasanya. Sejak bangun tidur, perasaan bermain-bermain kerana terkenangkan mimpi dalam masa tidur yang terakhir. Iaitu antara jam 2.50 pagi hingga 3.45 pagi. Mimpi yang mengimbau rasa gembira, terharu, insaf, cemas, kasihan, takut dan bermacam-macam perasaan yang silih berganti. Mimpi bertemu, berjalan-jalan dan menziarahi rumah seorang kawan baik. Kawan seperjuangan. Kawan susah dan senang. Kawan yang terkesan di hati kerana terlalu banyak kenangan yang dikongsikan bersama. Namun jalinan ini telah terputus hampir setahun yang lalu. Diputuskan oleh pegawai yang Allah tugaskan memutuskan ikatan suamj isteri, anak dengan ibu bapa, saudara dan kenalan. Izrail yang bertugas membawa kematian kepada setiap yang bernyawa.
Ya benar! Aku bertemu dengan kawanku. Kami berjalan-jalan bersama. Aku berbual dengannya dengan penuh ceria. Aku bertanya dan aku mencadangkan beberapa perkara. Aku dibawa meninjau rumah barunya. Tiba-tiba aku agak kehairanan.

Ye, kenapa begini pula rumahnya?
Rumahnya seperti tidak siap, tidak kukuh dan tidak sempurna. Paling aku hairan antara tingkap dindingnya terdapat kepingan polisterin sebagai penyendal. Lalu aku pun mengesyorkan agar disempurnakan. Beliau hanya tersenyum tawar dan dimenyahut walau sepatah kata. Sebenarnya begitulah reaksinya semasa aku berbual dengannya sejak tadi. Dia tidak menjawap walau sepatah kata. Cuma sesekali dia menyahut dengan semyum tawar.

Bila aku tersedar, mimpi ini terus bermain dalam fikiran dan perasaanku. Apa maksud sebenarnya? Entahlah! Aku bukan reti pun untuk mentafsirkan sebrang mimpi. Tetapi aku yakin mimpi bukan sekadar mainan tidur seperti yang sering diperkatakan orang. Hanya orang yang hidupnya dijadikan sebagai mainan, itu sebab sampai ke dalam tidur pun dia mahu bermain.
Selesai bertahajjud, witir dan berzikir seperti biasa aku sering bertafakur, merintih dan berdoa. Tapi malam ini aku fikiran dan perasaan aku diganggu oleh mimpi semalam. Maka aku pun berfikir-fikir tentangnya. Dihati terus menerus minta mursyid pandu dan faham-fahamkan. Sekurang-kurangnya pengajaran yang dapat memberikan keinsafan kepada diriku.

Ya. Mungkin begitulah keadaan rumah beliau sekarang ini. Tidak sempurna, gelap dan agak usang. Tapi masih bersyukur kerana masih ada rumah. Bukan tinggal di dalam kawah api, nauzubillah. Bagaimana nasibku di sana nanti? Adakah memiliki sebuah rumah yang cantik @ yang lebih usang dari itu? Jangan-jangan aku tinggal bersama ular, kala jengking, lipan atau naga yang sentiasa menunggu untuk membaham jasadku? Ya Allah tolonglah jauhkan aku dari ditimpa nasib sebegitu. Ampunkan aku wahai Tuhan!

Atau boleh jadi beliau sedang ingin meminta tolong sesuatu. Ya mungkin dia mahu aku tahu keadaannya sekaranf. Lalu dibawanya aku meninjau rumahnya sekarang. Begitu mengharukan perasaan ini. Lalu apa yang aku boleh bantu? Tanpa berlengah dan bertangguh malam itu aku panjatkan doa dan memohon agar Allah ampunkan beliau. Aku juga mengharapkan Allah sudi tempatkannya bersama golongan solehin, syuhada dan siddiqin. Aku juga hadiahkan sekiranya ada pahala dari amalanku kepada beliau. Segala jasa beliau kepadaku aku harapakan Allah balas dengan ganjaran yang tidak terhinggakan. Ya Allah berikan kebaikan di sisiMu kepadanya lebih daripada kadar amal yang dibuatnya semasa hayat beliau. Perkenankanlah permintaan aku ini sebagai membalas budi baiknya selama ini.

Aku insaf, terharu, cemas dan bimbang mengenangkan nasibku yang pasti akan menyusul ke alam sana. Bila, di mana dan bagaimana keadaannya...takut dan cemasnya aku mengenangkan semua itu. Ya Allah tolonglah aku!

Isnin, 2 Mac 2015

Kematian yang bertemu Allah

Sering bila seseorang itu meninggal dunia, dikatakan dia telah kembali bertemu Allah. Ertinya orang yang meninggal itu dia telah kembali ke pangkuan Allah. Memanglah Allah berfirman "Sesungguhnya kami datang dari Allah dan kepada Allah kami akan kembali".

Sembahyang juga dikatakan pertemuan kita dengan Allah. Pergi menunaikan haji pun dibahasakan menuju kepada Allah. 
Ertinya bukan sahaja kematian disebutkan sebagai kembali kepada Allah, lain-lain ibadah juga adalah 'pertemuan' kita dengan Allah.

Tapi tidaklah semudah itu untuk bertemu dengan Allah. Bukan semua orang yang bersembahyang dan berhaji itu dapat bertemu Allah. Bahkan orang yang meninggal dunia juga bukan semuanya akan bertemu dengan Allah.

Dalam Al Quran Allah berfirman yang bermaksud, " Maka neraka wail bagi orang yang bersembahyang. Yakni yang lalai dalam sembahyangnya."

Ertinya orang yang lalai dalam sembahyang, bukan sekadar sembahyangnya tidak menjadi medan pertemuan dia dengan Allah tetapi sebaliknya diancam pula akan dihumban ke neraka! Wal'iyazubillah.

Jadi fahamlah kita bahawa sebelum kematian jasad lahir, masih ada peluang untuk kita bertemu Allah. Bahkan orang yang telah dapat bertemu Allah semasa hidupnya akan dijamin dapat bertemu Allah selepas matinya.

Bertemu Allah bukan sahaja selepas mati, tetapi semasa hidup lagi kita wajib dapat bertemu dengan Allah. Bertemu Allah semasa hidup adalah pertemuan hati. Hati yang hidup dan aktif akan sentiasa dapat bertemu Allah terutamanya di dalam sembayang. Hanya sembahyang yang khusyuk sahaja yang akan menjadi medan pertemuan hamba dengan cinta agungnya, Allah.

Bagaimana untuk tahu yang kita itu khusyuk kepada Allah? Khusyuk itu ialah sepenuh perhatian, fikiran, masa, tenaga, hidup dan mati untuk Allah. Jika kita tidak khusyuk kepada Allah bermakna kita khusyuk kepada selain Allah. Salah satu bentuk khusyuk mesti berlaku dalam diri kecualilah orang itu sudah hilang fokus, atau disebut 'sakit mental'.

Sebenarnya hati yang dapat bertemu Allah semasa hidup lagi ialah hati yang telah 'mati' terhadap dunia. Ertinya bila hati kita telah 'meninggalkan dunia' maka waktu itulah hati akan dapat bertemu dengan Allah. Kematian sebelum mati inilah yang dibangsakan oleh sufi sebagai fana' yakni 'hancur lebur' keakuan diri. Yang Maha Wujud hanyalah Allah!

Ahad, 22 Februari 2015

Ulama tokoh perpecahan

Keghairahan berkongsi maklumat, cerita dan berita wargamaya atau netizen semakin menjadi-jadi. Perkongsian yang berantai dipanggil viral sudah menjadi trend. Samada video, gambar maupun artikel. Ada juga yang rajin berkongsi sekalipun dia sendiri pun belum menonton atau membaca sepenuhnya. Ada pulak yang memang mengambil tugas sebagai kaki 'like' dan kaki komen. Semua perkara atau semua topik dia akan komen. Ikut suka dia sajalah.

Netizen yang berkongsi idea, motivasi, saranan dan nasihat juga ramai. Jika diperhatikan rupanya ramai yang inginkan kebaikan dan mengajak manusia lain juga berbuat baik. Bagi yang suka berniaga, facebook, instagram dan lain-lain aplikasi media sosial dijadikan medan unruk mempromosi produk dan mencari pelanggan.

Perebutan dan persaingan untuk mendapatkan pelawat atau pengikut laman sosial nampaknya bertambah sengit. Maka tercetuslah berbagai pendekatan yang dilakukan oleh pemblog, facebooker atau pengguna lain-lain media sosial yang baru ini.

Apa yang agak menyedihkan ialah bilamana banyak pengguna telah memilih bahan-bahan yang ada nilai sensasi sebagai umpan menarik minat netizen mengunjungi laman milik mereka. Telah menjadi kebiasaan di mana bahan berunsur lucah, kejadian pelik atau ajaib, jenayah keganasan dan berita-berita panas adalah dikira memiliki nilai sensasi.

Bagi pejuang politik atau yang menjadi tentera sukarela maupun tentera upahan maya pula akan berkongsi cerita dan berita yang negatif bagi pihak musuh dan sebalikya memberi untung bagi pihak yang dipertahankan atau yang diperjuangkan. Maka berbalas-balaslah, serang menyerang satu sama lain. Kononnya masing-masing mendakwa mereka adalah lebih baik berbanding pihak lawan.

Relaitinya masyarakat terus dihidangkan dengan pelbagai bentuk permusuhan, pergaduhan dan persengketaan. Tidak ada pihak yang mampu mencipta perdamaian dan ketenangan yang bermula dari pihak mereka. Untuk menutup kelemahan pihak sendiri atau partinya maka mereka pun menyalahkan pihak atau parti lawan.

Bertambah sedih tetapi agak lucu ialah tokoh-tokoh agama juga ikut sama macam orang awam. Kata-kata dan saranan mereka tidak ubah seperti orang tidak berilmu bahkan adakalanya macam orang yang tak beriman. Sama saja dengan perangai orang awam.

Para ulama, para ustaz atau sekarang orang bangga kalau ada PhD, yang membawa gelaran Dr, golongan ini juga bercakap dan berucap penuh semangat menyalakan api permusuhan dan pergaduhan sesama Islam.

Terlalu sukar untuk mencari ulama atau ustaz yang bila dia bercakap orang ramai akan jadi lunak dan mudah untuk berbaik-baik. Hampir sudah tiada ulama atau ustaz yang mampu untuk menyatukan kelompok atau puak yang berbalah menjadi damai. Kebanyakan yang ada malah menjadi batu api atau melaga-lagakan lagi adalah.

Rupanya benarlah kata para hukamak bahawa kejahatan pemerintah terjadi berpunca dari jahatnya para ulama atau ahli agama. Memang munasabah sangatlah.

Jika ulama atau para agamawan sendiri pun asyik berkelahi, bergaduh dan berkrisis sesama sendiri, mana mungkin orang awam akan boleh bersatu dan berpadu. Bila rakyat telah hidup nafsi-nafsi, maka terbukalah peluang besar untuk pemerintah menjadi penzalim dan penindas. Dalam situasi inilah musuh akan menggunakan segala cara untuk menguasai pihak yang berkuasa untuk memperkotak katikkan negara.

Umat Islam sebenarnya ketandusan tokoh yang mampu membawa kedamaian dan ketenangan. Walau pun jumlah pendakwah, penceramah bebas, ustaz, ustazah, para agawan rasmi dan tidak rasmi semakin ramai berbanding tiga puluh tabun lalu. Namun perpecahan, perbalahan dan permusuhan sesama Islam juga meningkat kritikal dan parah.

Krisis kekosongan tokoh berwibawa yang mampu menyatu padukan umat Islam diambil peluang oleh musuh melaga-lagakan sesama tokoh agama dengan isu yang remeh temeh. Akhirnya unat Islam makin keliru bila agamawan sepatutnya menjadi contoh bagaimana untuk berkasih sayang telah bertukar menjadi tokoh bagaimana untuk bergaduh dan berbalah.


Ahad, 15 Februari 2015

Umat Islam kehilangan ulama berwatak Rasul

Salah satu bencana yang menimpa umat Islam di akhir zaman ialah kehilangan ulama samada kerana meninggal dunia maupun kerana menerima tekanan dari pemerintah yang zalim.

Kerosakan umat Islam berpunca kerana pemerintah yang semakin jauh dari petunjuk kebenaran. Pemerintah semakin jauh dari petunjuk Allah dan Rasul adalah disebabkan ulama sudah tidak memainkan peranan selaku penasihat sebaliknya bertukar menjadi penjilat. Ulama jenis ini takut menegakkan kebenaran berpunca dari penyakit cinta dunia dan takut mati yang semakin menebal dalam diri mereka.

Bila golongan ulama sudah rosak dan lemah imannya, maka pemerintah akan perlahan-lahan menjadi zalim. Bila pemerintah zalim, rakyat atau umat Islam akan rosak dan terhina di mana-mana.

Bagaimana kita tidak hina? Walau pun pemerintahan dikuasai oleh orang Islam, tetapi umat Islam dan agama Islam senang-senang sahaja dipermain dan diperolok-olokkan oleh bukan Islam.

Walau pun kuasa politik tertinggi dipegang oleh orang Islam, tapi dalam soal makanan halal pun umat Islam tidak mampu berdikari lagi. Walhal orang kaya Islam semakin bertambah bilangan dan jumlah kekayaan mereka. Tetapi dalam soal halal haram pun umat Islam masih dipersenda-sendakan oleh bukan Islam. Tak hina lagikah?

Sebenarnya umat Islam sudah tidak ada pemimpin yang berwibawa. Umat Islam juga sudah tidak ada ulama yang mewarisi watak Rasul. Rasul memang tidak ada. Tetapi ulama yang mewarisi Rasul itu memang diperlukan setiap zaman.

Kalau pun ada ulama, hanyalah yang berwatak Nabi. Ulama berwatak Nabi ini secara peribadinya memang baik, warak dan soleh. Mungkin beliau istiqomah dalam ibadah termasuk ibadah sunatnya banyak. Bangun malamnya tidak pernah tinggal. Sedekah dan pengorbanannya hebat. Ilmu dan dakwahnya juga tersebar. Sedikit sebanyak akhlaknya nampak lebih baik dari orang awam.

Ulama berwatak Nabi ini bagaimana pun tidak mempunyai kekuatan. Pengaruhnya sekadar mendapat sokongan dan peminat sahaja. Tidak ada pengikut yang setia dan sanggup berjuang seperti beliau. Maksudnya, kalau pun ada yang menyokong dan bersimpati tetapi tidak pun meniru dan mengamalkan seperti mana apa yang diamalkan oleh ulama tersebut.

Berlainan dan berbeza sekali dengan ulama berwatak Rasul. Ulama berwatak Rasul berjaya mendidik dan menjadikan pengikutnya mampu meniru dan mengamalkan seperti mana apa yang beliau perjuangankan. Jika beliau istiqomah dalam ibadah termasuk perkara-perkara sunat, begitu juga dengan pengikutnya. Jika beliau kuat berjuang dan berkorban untuk Islam, maka pengikutnya juga sanggup berjuang dan berkorban sama seperti beliau. Peribadi keluarga ulama jenis ini menjadi contoh dan ikutan para pengikut setianya. Malah para pengikut setianya akan sanggup menurut arahan ulama tersebut selagi tidak melanggar syariat. Inilah kelebihan dan kehebatan ulama berwatak Rasul.

Keberadaan ulama berwatak Rasul ditengah-tengah pengikut seperti keberadaan Rasul di tengah para sahabat. Kehidupan Rasulullah menjadi ikutan para sahabat dalam segala aspek. Iman, ilmu, ibadah, akhlak, perjuangan dan pengorbanan Rasul ditiru oleh sahabat-sahabatnya. Bahkan bagaimana Rasulullah mengatur rumah tangga dan kehidupan seharian, itu jugalah menjadi panduan langsung kepada sahabat dalam menyusun dan mengatur kehidupan mereka.

Kewujudan ulama berwatak Nabi tidak memberi kesan besar dalam kehidupan para penyokong dan simpatisannya. Tetapi keberadaan ulama berwatak Rasul sangat memberi kesan dan mencorak kehidupan para pengikutnya. Pendek kata, ulama berwatak Nabi hanya ada penyokong, peminat dan para simpati. Tetapi ulama berwatak Rasul, selain mempunyai peminat, penyokong dan para simpati, tetapi dia juga memiliki pengikut yang setia dan sejiwa. Sebab itu ulama berwatak Rasul mampu mencipta sebuah jemaah yang menjadi model berbanding ulama berwatak Nabi.

Ulama berwatak Nabi sekadar meriah dalam kuliah dan ceramah. Tetapi tidak ada kekuatan untuk membina sebuah model kehidupan Islam. Oleh kerana tidak mampu membangunkan model dalam jemaah, maka mereka menyalahkan kononnya pemerintah menghalang usaha dan cita-cita mereka. Inilah kelemahan yang sangat ketara memimpa nasib umat Islam hari ini. Sukar melihat kelemahan diri sendiri tetapi sebaliknya mudah sahaja menyalahkan pihak lain terutamanya musuh politik mereka.

Kehilangan ulama berwatak Nabi hanya akan dirasai dalam satu jangka masa singkat. Tidak berapa lama, umat Islam kembali kepada kehidupan biasa. Tetapi kehilangan ulama berwatak Rasul, perjuangan tetap diteruskan dan kehidupan Islam dalam skala kecil sedaya upaya dipertahankan malah terus dikembangkan.

Umat Islam sebenarnya sangat perlukan ulama yang berwatak Rasul. Di saat Islam berhadapan dengan segala macam fitnah, hanya ulama yang berwatak Rasul sahaja mampu membawa umat Islam keluar dari kegelapan dan kesesatan. Sekadar ulama berwatak Nabi, umat Islam masih samar-samar menuju jalan kebenaran. Selain itu, ulama dunia yang menjadi penjilat pemerintah tidak akan memberikan apa-apa harapan kepada umat Islam selain kekeliruan. Sebab itu Rasulullah memberi peringatan agar menjauhkan diri dari ulama suk, yakni ulama yang cinta dunia kerana “bau busuk”nya pun sudah cukup untuk merosakan agama kita

Isnin, 22 Disember 2014

Bila musnahnya segala tempat mengadu selain Allah

Siti Aisyah r.a.ha merasakan dunia terlalu sempit, menghimpit, siang bagaikan malam yang pekat, sehari dirasakannya bagai sebulan bahkan setahun. Begitulah bila segala tempat mengadu telah dirobohkan selain hanya pada Allah. Allah menciptakan suasana itu pada hamba-hambaNya mengikutlah Maha Bijaksana Allah terhadap tadbirNya ke atas makhluk.

Walhal bukan tidak ada suami, malah suaminya adalah seorang Rasul, kekasih Allah bahkan bagindalah Penghulu dan Penutup sekalian Rasul. Segala keistimewaan bagi seorang hamba, tiada seorang Rasul pun dapat menandinginya apatah yang bukan Rasul. Tetapi bila Allah lakukan satu proses, maka Rasulullah saw sendiri pun akur dan taat menunggu keputusan dari Allah.

Kisah seorang wanita yang begitu khusyuk dan tidak rehat-rehat bertawaf lalu seorang ulama sufi yang perasan keadaan itu cukup berminat untuk tahu bagaimana dia boleh jadi begitu, maka dia pun bertanya,”

“Maafkan kami kerana ingin bertanya dan ingin memahami situasi puan. Bagaimana boleh puan dapat melakukan tawaf dengan penuh khusyuk dan kelihatan seperti tidak letih-letih.”

Dalam keadaan sedikit terkejut dan tetapi setelah diyakini pertanyaan itu bermaksud baik maka dia pun sedia menerangkan apa yang pernah dialaminya.

“Saya seorang yang malang. Saya mempunyai suami dan empat orang anak. Terjadi pada suatu hari raya korban bila anak-anak saya memerhatikan suami menyembelih korban. Perlakuan si ayah telah ditiru oleh anak-anaknya. Si abang membaringkan adiknya lalu mengelar leher adiknya. Memancut-mancutlah darah dan menggelupurlah si adik. Melihat keadaan itu si abang menjadi ketakutan lalu berlari ke arah padang pasir.”

“Apabila disedari oleh suami saya, maka dia pun mengejar anaknya dengan harapan dapat menyelamatkan dari tersesat di pandang pasir dan ditakuti akan dimakan binatang buas”

“Setelah hari berlalu, minggu berganti dan bulan bertukar, maka yakinlah saya bahawa suami dan anak saya telah hilang atau mati di padang pasir yang tidak mungkin kembali lagi bersama kami.”

“Setelah berlalu satu masa yang memeritkan, pada suatu hari dalam keadaan perasaan yang tidak menentu dan begitu sedih maka saya terabai menjaga anak kecil yang bermain di dapur lalu tertumpah air panas menjadikan seluruh badannya melecur dan menyebabkan kematiannya.”

“Tidak lama selepas itu datang pula kakaknya yang sudah berkahwin menziarahi adiknya. Kerana terlalu terperanjat dan sedih melihat adiknya, si kakak jatuh pengsan dan terus meninggal dunia.”

“Tidak tahu ke mana ingin saya membawa hati yang telah hancur lebur dan bagaikan seluruh kehidupan saya  sudah tidak ada apa-apa makna lagi. Akhirnya saya bawakan diri mengadukan seluruh penderitaan dan kesedihan yang saya alami ke hadrat Allah di sisi rumahNya ini.”

“Segala-segalanya Allah ambil dariku, maka aku hanya tinggal Allah sahaja. Setelah itu Allah jadikan hatiku benar-benar merasa cukup dengan Dia sebagai satu-satunya cinta agung dalam hatiku, maka mana mungkin aku akan jemu dan penat untuk terus bermanja dan melepaskan rindu terhadapNya”

Kaab r.a. dan dua sahabat baginda pernah diboikot kerana terlewat menyertai pasukan jihad. Pada satu hari Kaab r.a pernah menceritakan kepada sahabat-sahabatnya mengenangkan nasibnya waktu itu dengan berkata,”Aku merasakan dunia terlalu sempit dan sunyi daripada adanya manusia. Maka pada waktu itu aku menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah dan hanya Dia sahajalah tempat aku mengadu”

Tersebut kisah seorang lelaki fasik dari Bani Israil. Penduduk di kampung tempat tinggal lelaki itu tidak mampu lagi membendung kefasikannya lalu mereka berdoa kepada Allah. Tidak lama kemudian Nabi Musa menerima wahyu dari Allah tentang adanya seorang pemuda fasik di kalangan Bani Isaril. Lalu Nabi Musa pun mengusir pemuda tersebut dari kampungnya. Maka selamatlah mereka dari bahang api kefasikannya setelah pemuda tersebut meninggalkan kampung asalnya menuju ke sebuah kampung yang jauh dari situ.

Kemudian Allah swt perintahkan sekali lagi Nabi Musa as mengusir pemuda tersebut dari kampung yang baru sahaja didatanginya itu. Maka keluarlah pemuda tersebut dari kampung yang baru sahaja dikenalinya menuju ke suatu kawasan yang tidak terdapat manusia, tanaman, binatang liar dan burung sekali pun. Setelah tinggal di situ, lelaki tersebut pun jatuh sakit. Sedang di situ tidak ada siapa pun yang ada untuk menolongnya.

Setelah berat sakitnya, dia pun merebahkan badan ke atas tanah dan meletakkan kepalanya seraya berkata, “Kalaulah kepalaku ini dipangku oleh ibuku, tentulah dia kasihan terhadapku dan menangis mengenangkan keadaanku. Kalaulah ayahku ada di sini pastilah dia akan menolong dan merawatku. Kalaulah sekiranya isteri dan anak-anakku berada di sisiku saat ini, tentu sahaja mereka akan bersedih dan menangis dengan kematianku dan akan mengiringi jenazahku sambil berdoa; “ Ya Allah ya Tuhanku, ampunilah ayahku ini yang lemah, yang fasik, yang derhaka dan terusir dari kota ke kampung, dari kampung ke tanah yang tandus lagi gersang. Dia keluar dari dunia ke Akhirat tanpa harapan suatu apa pun”.

Lelaki itu seterusnya mengadu kepada Allah, “Ya Allah! Engkau telah pisahkan aku dari orang tuaku, isteri dan anak-anakku. Namun wahai Tuhan! Janganlah aku terpisah daripada rahmat-Mu. Sesungguhnya Engkau telah membakar hatiku dikeranakan perpisahan dengan mereka. Namun janganlah pula Engkau bakar hati ini dengan neraka-Mu kerana kemaksiatanku.”

Kemudian Allah mengutuskan bidadari menjelma sebagai ibunya dan yang lain menyerupai isterinya pula. Begitu juga wildan menjelma sebagai anak-anaknya. Manakala Allah utuskan malaikat seolah-olah sebagai ayahnya. Mereka duduk di sisinya dan mengasihi sambil menenangkan perasaannya. Lalu lelaki itu berkata,”Sesungguhnya ini ibubapa, isteri dan anak-anakmu telah hadir di sisimu”. Terhibur dan senanglah hati lelaki tersebut lalu pada saat itulah rohnya keluar dan pulang mengadap Allah dalam keadaan suci dan terampun dari segala dosanya.

Kemudian Allah mewahyukan kepada Nabi Musa denga perintah, “Pergilah kamu ke sebuah padang di suatu tempat di sana. Di situ telah meninggal seorang wali. Maka hadirlah dan uruskanlah jenazahnya”. Sewaktu Nabi Musa sampai di tempat itu, baginda melihat para bidadari sedang mengerumuni jenazah lelaki.

Alangkah terkejutnya baginda bila melihat jenazah itu adalah lelaki yang diusirnya dari kampung dengan perintah Allah juga! Lantas Nabi Musa pun bertanya, “Ya Tuhanku, bukankah ini pemuda yang aku usirkan dari kota dan dari sebuah kampung atas perintah-Mu?” Allah berfirman,”Wahai Musa, sesungguhnya Aku telah merahmati dan mengampuninya kerana ratapan lelaki tersebut atas dosa-dosanya. Dia tinggalkan kampung halamannya, orang tuanya bahkan isteri dan anak-anaknya. Maka Aku utuskan malaikat dan bidadari menjelma sebagai ayah, ibu, isteri dan anak-anaknya. Mereka mengasihi kepedihan dan pengasingannya. Sesungguhnya jika orang meninggal di tempat jauh, maka ahli bumi dan ahli langit akan menangis mengasihinya. Lalu bagaimana Aku tidak mengasihi sedangkan Aku Maha Pengasih?”

(Imam Al Ghazali dalam Mukasyafatul Qulub)

Demikianlah cara Allah memproses hamba-hambaNya. Bentuk dan sebabnya mungkin berbeza mengikut darjat dan pakej masing-masing. Tetapi konsepnya tetap sama iaitu terputus atau musnahnya segala tempat bergantung selain Allah. Allah ciptakan situasi sebegitu mengikut ukuran keperluan bagi seseorang untuk mendapat kemuncak pengharapan kepada Allah. Ahli sufi ada berkata,”Bila tiada harapan maka timbullah harapan”

Pakej sepertinya ini Allah rahsiakan termasuk kepada RasulNya sendiri sehingga sampai tempuh masa tertentu barulah dibukakan atau didatangkan jawapan langsung dari Allah sebagai pengajaran.


Baginda Rasulullah saw pernah pergi menziarahi seorang lelaki yang sedang nazak dan bertanya, “Bagaimana keadaan kamu sekarang ini?” Lalu lelaki itu menjawap dalam keadaan yang lemah,”Aku mengharapkan Allah mengasihaniku dan aku terlalu takut dengan dosa-dosaku” Mendengar itu Rasulullah pun bersabda,”Sesungguhnya Allah akan menunaikan harapanmu dan menghindarkan ketakutanmu”

Isnin, 8 Disember 2014

Cinta dan cemburu Allah tidak terpisah

Dalam sebuah hadis yang panjang riwayat Imam Muslim, terdapat sepotong ayat yang berbunyi,

“Dan tidak ada yang lebih cemburu daripada Allah…”

Ya Allah, sewaktu aku sedang asyik bertafakur mengenai kesalahan dan kesilapan diriku dengan tiba-tiba aku diberi faham bahawa aku ini lemah! Benar wahai Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Aku adalah hamba-Mu yang lemah dan terlalu lemah. Bahkan aku adalah yang paling lemah di kalangan mereka yang sangat lemah.

Wahai Tuhan, ampunilah aku, maafkanlah aku jika memang pernah aku mengaku bahawa aku ni termasuk orang yang kuat. Sesungguhnya aku sedar, selamanya aku tidak pernah kuat di sisi-Mu.

Memang aku ingin sangat mendapat rasa cinta dan rasa takut kepada-Mu. Bukankah rasa-rasa itu adalah rasa kehambaan yang wajib ada pada setiap hamba yang sedang berhadapan dengan-Mu wahai Tuhan. Tetapi kenapa aku belum lagi memiliki rasa-rasa itu?

Ya Allah, aku pernah mendengar ada sahabat yang datang kepada Nabi lalu mengakui bahawa sangat mencintai Rasulullah saw, lalu baginda berkata, bahawa kamu belum mencintai aku sehingga kamu sanggup miskin dan diuji. Oh Tuhan, bagaimanakah aku boleh mendapat cinta jika aku masih takut dan belum bersedia untuk miskin dan diuji?

Wahai Allah Yang Maha Penguji lagi Maha Mengetahui siapakah yang paling lulus dalam setiap ujian yang Engkau lalukan ke atas setiap hamba-Mu. Ya Allah sudilah Dikau memilih aku untuk melepasi ujian-ujian yang akhirnya Engkau anugerahkan rasa cinta yang begitu mahal harganya hatta untuknya nyawa perlu dikorbankan.

Aku merasa terlalu lemah dalam menempuh gelombang hidup melainkan kekuatan yang Engkau berikan menjadikan aku terasa terbela sekali. Bukan pembelaan, tetapi kasih sayang-Mu yang menjadikan aku rasakan bahawa segala yang aku tempuhi pasti Engkau tidak akan biarkan sia-sia.

Aku memang tidak layak memiliki singgahsana di sisi-Mu seperti para Siddiqin maupun ahli Muqarrobin. Tetapi aku cuba menggapai sedikit kemuliaan yang ada di sisi-Mu yang Engkau tawarkan kepada kelompok Solehin.

Perjalanan menuju untuk berhadapan dengan-Mu Allah, jalannya sungguh menakut dan menggerunkan. Sepanjang jalan dipenuhi dengan ranjau dan cubaan. Hanya segelintir manusia yang mampu dan dapat sampai dengan selamat hingga duduk di sisi-Mu selaku kekasih-Mu.

Setiap yang ingin memiliki cinta-Mu maka bersiaplah untuk menghadapi cemburu-Mu. Walhal tidak ada yang lebih cemburu melainkan Allah terlalu cemburu terhadap hamba-hamba-Nya. Cinta dan cemburu tidak akan terpisah hatta antara hamba dengan Tuhan sekali pun!

Bila Allah cemburu kepada seorang hamba-Nya, maka Allah akan hancur-musnahkan segala pergantungan hamba itu kepada selain Allah. Allah akan perlakukan sehingga hamba-Nya itu tidak punya apa-apa lagi selain hanya Allah sahaja yang ada di dalam hati hamba-Nya itu.

Oh Tuhan, apakah aku mampu berhadapan dengan cemburu-Mu itu? Aku hanyalah seorang yang terlalu lemah, tetapi jika Engkau sudi, maka Engkaulah yang akan memberikan kekuatan kepada aku pada setiap langkah-langkahku menuju-Mu.

Mendengar kisah-kisah orang yang telah melalui perjalanan yang mulia lagi agung dalam memburu cinta-Mu wahai Tuhan, aku seakan terjelapak dan tersungkur di pertengahan jalan. Iya, apakan daya seorang hamba yang lemah seperti aku ini ingin mendaki puncak tertinggi yang terlalu tinggi.

Sebahagian hamba-Mu yang sedang dalam perjalanan menuju-Mu adakalanya Engkau biarkan mereka dan Engkau seolah-olah langsung tidak peduli kepada mereka. Sehinggakan pada saat-saat mereka hampir kepada puncak, Engkau masih tidak menunjukkan tanda cinta-Mu kepada mereka. Oh begitu hebatnya ujian yang engkau lalukan terhadap hamba-hamba-Mu, yang sedang menuju kepada-Mu. Mungkinkah aku mampu menempuhinya?

Bila Allah cemburu, tanda Allah tidak mahukan hamba-Nya berbelah bagi dalam soal cinta. Allah mahukan hamba-Nya tidak berkongsi cinta dengan selain Allah. Allah hanya akan cemburu terhadap hamba-Nya yang hanya memilik satu cinta, Cinta Agung! Mendapatkannya, dapat segala-galanya.

Oh Tuhan! Patutlah kekasih-kekasih-Mu rela meninggalkan segala-galanya demi menagih cinta-Mu. Bila cinta-Mu telah menjadi milik hamba-Mu, selain-Mu tidak ada erti apa-apa lagi. 

Sabtu, 6 Disember 2014

Belajar bila tiada peluang belajar

Soalan yang sama sering ditanyakan oleh kawan-kawan yang baru kenal atau yang sudah lama tidak ketemu. Tapi semalam ada seorang pemuda bertanya soalan yang sama maksudnya mendorong saya menjawab dengan panjang lebar.

“Encik belajar pernah belajar di mana?’

Saya belajar dalam system persekolahan rasmi bermula di Sekolah Kebangsaan Bandar Tua pada sebelah pagi dan Sekolah Agama Rakyat Al Latifiah pada sebelah petangnya pula. Selalu juga pada lewat malam saya mengikuti kelas tuisyen orang dewasa yang datang menadah kitab sekurang-kurang tiga malam dalam seminggu dengan ayah saya. Itulah permulaan alam persekolahnya saya.

Sejak pada peringkat umur sebegitu, sering bergaul dengan orang yang lebih dewasa bahkan orang tua-tua. Waktu senggang antara Maghrib dan Isyak di surau atau di kampung disebut menesah (madrasah) saya duduk-duduk dengan orang-orang tua. Berkumpul beersama sambil mendengar perbualan dan celoteh mereka. Sedangkan pada masa sama rakan sebaya kebanyakan pulang ke rumah menonton rancangan tv. 

Bila berpeluang melanjut pengajian diperingkat menengah di sebuah sekolah asrama harian, di sanalah bermulanya berjinak dengan banyak gerakkan dakwah atau persatuan Islam. Mendekati dan bergaula dengan abang-abang senior banyak mendedahkan saya kepada maklumat dan berita berkaitan gerakkan Islam setempat.

Selama dua tahun pertama, ligat ke sana ke sini mencari dan mengikut berbagai program Islam yang berhampiran dengan asrama. Tidak lama selepas itu saya terus mengambil keputusan untuk bertukar ke sekolah Al Arqam. Tanpa perbincangan dengan sesiapa kecuali berdoa kepada Allah, maka hati saya terus diberi kekuatan untuk membuat keputusan. Suatu pagi sewaktu kawan-kawan bersiap-siap ke sekolah, saya pula bersiap-siap pulang ke kampung.

Oleh kerana waktu itu emak dan ayah serta keluarga tidak faham tentang era dakwah yang berlaku di bandar, mereka menentang keras hasrat saya. Bermula dari situlah saya menjadi ‘perantau’ dari keluarga.

Pada awalnya saya terpilih untuk belajar di Sungai Pencala tetapi atas dasar taat kepada pemimpin negeri, saya terus menetap di Ipoh. Pendek ceritanya saya tidak berpeluang mengikuti kelas formal melainkan belajar secara informal. Bermula dari sinilah ruang-ruang yang dalam hidup ini ditukarkan sebagai bilik darjah atau kelas atau dewan kuliah.

Manakala adik-adik, kawan-kawan, abang-abang, kakak-kakak, pakcik-pakcik, makcik-makcik dan orang sekeliling saya anggap sebagai cikgu dan guru. Sedangkan para ustaz, ustazah dan para pemimpin adalah pensyarah, penyelia dan professor yang membimbing dan memantapkan lagi apa yang sempat dikutip dari ilmu yang sedang bertebaran di merata-rata dalam kawasan ‘persekolahan’ saya.

Buku dan bahan bacaan memang menjadi teman dan kawan seperjalanan. Tiada istilah berseorangan atau kesunyian. Semuanya menjadi ruang kelas yang sentiasa saja ada sesi pengajian sekali pun tanpa suara.

Telah berpesan seorang mursyid kepada anak-anak muridnya tentang suatu bahaya yang menimpa para penuntut ilmu, “Ilmu itu boleh menjadi hijab kepada dirimu”. Benar! Bila mana seorang itu telah merasa dirinya berilmu, maka sukar untuknya belajar dari orang lain apa lagi mahu mengiktiraf ilmu orang lain.

Sekali sekala jauh di sudut hati ada juga rasa terkilan kerana tidak berpeluang menuntut ilmu secara formal macam kawan-kawan lain yang berjaya sehingga mendapat pengiktirafan tertinggi seperti doktor falsafah atau sekurang-kurang sarjana dalam bidang-bidang tertentu.

Namun semuanya itu adalah dalam ilmu Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tentu dan sudah pasti ada hikmahnya. Teringatkan ini, kembali terbit rasa syukur terhadap apa yang telah saya lalui sepanjang hidup hingga ke hari ini.

Apabila kita tidak lagi direzekikan belajar secara formal, maka terbukalah peluang yang seluas-luasnya untuk kita belajar secara informal. Tidak ada alasan untuk kita tidak belajar sebenarnya. Bahkan belajar secara informal adalah pengajian yang tidak pernah tamat dan tidak had masa, tempat dan guru tertentu. Di mana-mana, dengan siapa-siapa sahaja dan sepanjang masa!

Sedangkan orang yang belajar secara formal, apabila tamat pengajiannya, mereka merasakan bahawa mereka sudah tidak perlu lagi belajar melainkan sudah layak untuk mengajar orang lain pula. Memang pun mereka layak dan sepatutnya mereka menyebarkan ilmunya pula.

Yang malangnya, sebaik saja tamat pengajian formal, dapat sijil, kitab dan buku disimpan rapi, mereka pula terjun dalam dunia kehidupan yang tidak ada kaitan langsung dengan apa yang mereka belajar. Kepada mereka ini ada dua kerugian nyata, satu ilmu yang dipelajari tidak diamalkan, kedua ialah kena belajar pula untuk hidup baru iaitu hidup selepas alam persekolahan atau pengajian.

Kata-kata pujangga ada mengatakan, “Orang bodoh hanya boleh belajar dengan orang yang lebih pandai daripadanya. Tetapi orang yang cerdik, mereka boleh juga belajar dengan orang yang kurang cerdik daripadanya. Manakala orang yang bijaksana boleh belajar dari siapa sahaja tanpa gurunya itu sedar dia telah menjadi murid kepadanya”

Belajar secara formal biasanya murid-murid belajar dari guru yang lebih pandai darinya. Tetapi pelajar-pelajar yang cerdik boleh belajar dengan kawan-kawannya ynag kurang cerdik dalam aspek-aspek tertentu. Guru-guru yang bijaksana boleh belajar dari siapa sahaja termasuk murid-muridnya yang paling lemah sekalipun tanpa muridnya itu sedar bahawa dia telah menjadi guru kepada gurunya sendiri.

Biasanya orang yang terlalu lama belajar dalam system yang formal, dia sukar atau tidak mahir untuk belajar secara informal. Sebaliknya orang sudah sebati dengan system tidak formal cepat dan mudah memahami bahkan kefahamannya jauh lebih luas bila diberikan ilmu secara formal.

Terima kasih Allah kerana telah merezekikan aku apa yang telah menjadi ketentuan Engkau sejak Azali lagi. Aku hanyalah hamba-Mu, terpulanglah kepada Engkau apa yang Engkau mahu lakukan terhadap diriku.

Ya Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Terkandung hikmah besar apabila Engkau hilangkan peluang aku belajar secara formal. Rupanya Engkau telah bukakan seluas-luasnya peluang supaya aku belajar secara tidak rasmi.

Moga dengan itu aku selamat dari dibentuk oleh system yang rasmi walaupun sempat juga beberapa tahun di awalnya untuk mengikat kepada asas aqidah yang benar. Namun selepas itu aku sudah tidak terikat lagi dengan system yang membetuk cara berfikir yang ‘terkongkong’.

Kepada pemuda yang bertanya tadi dan kepada anak-anakku, saya berpesan agar kamu semua merebut peluang sebaik mungkin untuk terus belajar secara tidak rasmi apabila peluang belajar secara rasmi ditamatkan.

Tuntutlah ilmu tanpa henti sehingga mati, jangan sekali-kali berhenti apabila tamat pengajian rasmi!